Sunday, April 17, 2011

FARAID

PENGERTIAN FARAID

Faraid dari segi bahasa bermaksud ketetapan.Menurut istilah syarak, Faraid adalah pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Islam yang telah ditetapkan di bawah Hukum Syarak ke atas waris-waris yang sah dan layak (seperti anak, isteri, suami, ibu, bapa dan lain-lain). Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang-hutang pewaris samada berbentuk agama (seperti zakat, nazar, dll) atau hutang kepada manusia dan menunaikan wasiat yang dibenarkan oleh syarak.

HUKUM BERKENAAN FARAID

Menurut Islam, selepas kematian seseorang Muslim, maka wujudlah hak-hak tertentu ke atas harta yang ditinggalkannya. Hak-hak tersebut telahpun ditentukan sendiri oleh ALLAH secara khusus di bawah hukum faraid. Pembahagian faraid kepada yang berhak hukumnya adalah WAJIB untuk ditunaikan, dan FARDHU KIFAYAH kepada umat Islam (khususnya waris-waris) untuk menyelesaikannya, sama hukumnya seperti menyembahyangkan jenazah. Pembahagian harta pusaka menurut kaedah dan pelaksanaan Islam adalah suatu pembahagian yang sangat adil dan sistematik kerana ALLAH sebagai pencipta manusia mengetahui dimana letaknya kekurangan dan kelebihan dalam diri manusia itu.

Di dalam surah An-Nisa' ayat 11-13 telah menerangkan tentang kaedah pembahagian Faraid dengan jelas, manakala dalam surah yang sama ayat yang ke-14 Allah telah mengecam manusia yang beriman sekiranya ingkar dengan perintah ALLAH ini.

Maksud surah An-Nisa' (ayat 14):

"Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentutan-ketentuan-Nya, nescaya ALLAH akan memasukkannya kedalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya; dan baginya seksa yang menghinakan".

Ini jelas menunjukkan bahawa sekiranya umat Islam itu ingkar dengan ketentuan ALLAH, maka ALLAH akan melemparkannya ke dalam api neraka selama-lamanya. Ini menunjukkan bahawa suatu ancaman yang amat berat bagi mereka yang mengabaikan pelaksanaan hukum Faraid dalam pembahagian harta pusaka.

Peringatan:

Sekiranya pembahagian Faraid diabaikan, dikhuatiri akan berlaku:

  • Memakan harta anak yatim

  • Memakan harta saudara-mara
  • Memakan harta Baitulmal

TUNTUTAN BELAJAR ILMU FARAID

Sabda Rasulullah saw:

Pelajarilah ilmu Faraid dan ajarkanlah kepada manusia, kerana ianya adalah separuh daripada ilmu dan akan dilupakan. Ia juga adalah ilmu yang pertama akan dicabut dari umatku.

- Hadis riwayat Ibnu Majah daripada Abu Hurairah

Sabda Rasulullah saw:

Pelajarilah ilmu Faraid dan ajarkanlah kepada orang lain. Sesungguhnya aku akan mati, ilmu ini juga akan mati dan akan berlaku kacau-bilau. Sehingga apabila dua orang bertelingkah kerana harta pusaka, mereka tidak akan dapat menemui sesiapa yang boleh menyelesaikan kes mereka.

- Hadis riwayat al-Hakim daripada Ibnu Mas’ud

PERLAKSANAANNYA MASAKINI

Walaupun hukumnya adalah jelas WAJIB, namun realitinya, sebanyak sejuta kes tanah pusaka di Malaysia (laporan Pejabat Tanah) dianggar bernilai RM38 bilion masih tidak dapat diselesaikan kerana masalah pewarisan dan 90% daripadanya adalah milik orang Melayu (yang rata-ratanya beragama Islam). Begitu juga mengikut laporan KWSP, lebih daripada RM70 juta wang KWSP tidak dituntut oleh waris. Ini bermakna begitu banyak sekali harta-harta umat Islam yang terbeku dan mereka yang berhak dan layak tidak mendapat bahagian mereka. Ini juga bermakna sistem faraid tidak berjalan dengan baik pada ketika ini. Timbul persoalan dari segi hukumnya, siapakah yang akan menanggung dosa-dosa ini?

Di samping itu begitu banyak kes berlakunya pertelingkahan dan perselisihan di kalangan umat Islam kerana merebut harta pusaka sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah di atas. Lebih malang dan amat menyedihkan ada yang menyebut bahawa ALLAH tidak adil dalam menentukan bahagian faraid.

No comments:

Post a Comment