Wednesday, October 27, 2010

Kembara ke Bukit Freser


Jurnal Bukit Fraser


Kali ini kami berpeluang untuk meneroka pengalaman di kawasan tanah tinggi dengan tarikan tersendiri apabila mengadakan lawatan praktikal ke Bukit Fraser pada 19 Oktober sehingga 21 Oktober 2010. Lebih dikenali The Little England of Malaysia. Dengan latarbelakang bangunan berkonsepkan Inggeris, pasti menimbulkan nostalgia kepada pengunjung. Mengikut sejarah nama Bukit Fraser adalah dari nama seorang peniaga Scotland, Louis James Fraser yang merupakan pencari dan pembeli bijih timah dari pelombong berbangsa Cina di sekitar hulu Sungai Sempam pada tahun 1880an. Pembangunan Bukit Fraser sebagai destinasi percutian berhawa dingin bermula pada tahun 1917 oleh Kerajaan British pada masa itu dan sehingga kini berbagai-bagai pembangunan telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang dan Malaysia. Di antara tarikan pelancongan utama disini adalah bangunan dan banglo lama bercirikan rekabentuk British, merentas denai(trail), aktiviti mengecam burung (birdwatching) dan tempat percutian tanah beriklim sederhana dengan suhunya yang sejuk antara 17-24 celcius serta jauh dari kesibukan kota. Puncak tertinggi Bukit Fraser ialah 1,280 meter dari aras laut. Setelah pelbagai urusan penempahan, logistik selesai, maka sebagai pelatih Kursus Usahawan Pelancongan Siri 1/2010 peluang untuk menjejak kaki ke The Little England of Malaysia diharapkan akan membuka minda tentang satu lagi produk pelancongan kawasan tanah tinggi.

Hari Pertama – Selasa (19 Oktober 2010)

Lawatan ke Bukit Fraser kali ini agak berbeza kerana kami terpaksa membawa sendiri keperluan bahan-bahan untuk memasak. Semua pelatih berkumpul di Dewan Makan PERHEBAT untuk memunggah bahan-bahan basah seperti ayam,daging lembu, sayur-sayuran. Bahan-bahan kering seperti beras, tepung, minyak telah diambil lebih awal. Segala bahan-bahan dimuatkan ke dalam bas. Setelah semuanya selesai, bas PERHEBAT, sebuah Pajero, sebuah kereta dan dua buah motorsikal berkuasa tinggi bergerak meninggalkan Sungai Buloh jam 0845 pagi dengan memasuki Plaza Tol Sungai Buloh Utara melalui Lebuhraya Utara-Selatan, kami singgah sebentar untuk menikmati minum pagi di ‘R n R’ Rawang. Lawatan ini turut disertai 4 pelancong tempatan iaitu Tony, Chot, Raj dan Faiz yang merupakan kenalan Cikgu Zulkifli yang amat mengharap sesuatu input akan diperolehi bila bersama dengan rakan-rakan beliau yang mempunyai pengalaman dalam industri pelancongan. Kami mula meninggalkan hentian rehat tersebut dan menyusuri keluar Tol Bukit Beruntung jam 0950 pagi, meredah laluan jalan raya dan tiba di Kuala Kubu Bharu jam 1025 pagi, merentas Empangan Hulu Selangor dan jambatan besi Sungai Chiling untuk melalui jalan berliku ke Bukit Fraser. Perjalanan melalui jalan sempit dan berliku menuju ke Bukit Fraser terasa begitu panjang, akhirnya sampai jua di pintu pagar old gap

Jadual lalulintas ke Bukit Fraser

Untuk ke Bukit Fraser terpaksa mengikut peraturan masa yang ditetapkan bagi kenderaan naik dan turun . Kami sampai di kawasan tersebut antara waktu kenderaan dibenarkan naik ke atas iaitu antara jam 11 pagi sehingga 1140 pagi.Perjalanan sejauh 8 km dan berliku-liku untuk sampai ke puncak. Keletihan hilang apabila dapat melihat menara jam Bukit Fraser yang menunjukkan jam 1145 pagi.



Setelah melepas lelah sebentar melalui jalan dari old gap ke Bukit Fraser sejauh kira-kira 8 km, akhirnya kami bergerak ke penginapan iaitu Rumah Peranginan Persekutuan Bukit Fraser di Jalan Girdle, sebuah Banglo 6 bilik yang cukup cantik tersergam. Kami menginap di Banglo B dan saya bersama 4 lagi teman berkongsi bilik 6B. Setelah memunggah barang-barang keperluan dari bas dan rakan-rakan yang expert memasak membuat hidangan makan tengahari secara gotong-royong.









Jam 4.45 petang kami bergerak untuk satu lagi pengalaman meneroka laluan di Bukit Fraser serta aktiviti birdwatching. Kami berkumpul di pusat bandar dan kami diperkenalkan oleh Cikgu Zul, seorang pemandu pelancong berbangsa India iaitu Mr. Durai, dianggap pakar dalam aktiviti birdwatching. Beliau telah hampir 20 tahun lebih terlibat dalam aktiviti tersebut serta mempunyai pengalaman luas dan arif tentang Bukit Fraser, malahan pernah beberapa kali menerima jemputan bagi seminar tentang burung di luar negara seperti Singapura dan New Zealand. Kemahiran mengenal spesis burung dan membunyikan siulan burung begitu di kagumi. Malahan boleh dianggap sebagai aktivis dalam memperjuangkan habitat spesis burung di Bukit Fraser. Dengan hampir 250 spesis burung yang dikenalpasti di kawasan tersebut, peluang mendapat input, tip dalam birdwatching dari seorang yang dianggap pakar burung adalah satu pengalaman yang begitu berharga.

Kami menyusuri Jalan Genting dan kelihatan sepanjang laluan Masjid Sultan Mahmud, Pejabat Perbadanan Bukit Fraser, Banglo Cini, Silver Park Apartmen, Banglo Temerloh dan melalui Jalan Ledegham kelihatan Bishop Trail. Sepanjang laluan, Mr. Durai turut memberi penerangan tentang spesis burung dan sejarah Bishop Trail turut diketahui. Hampir 10 spesis burung dapat dilihat sepanjang perjalanan. Antaranya Black Eagle, Mountain Imperial Pigeon, Mountain Fulvetta, Little Cuckoo Dove, Oriental Magpie Robin, Little Spiderhunter, Grey Wagtail. Kepelbagaian spesis burung di Bukit Fraser amat mengagumkan, meskipun pertama kali terlibat aktiviti tersebut, keindahan fauna di darat amat indah sekali seperti pertama kali melihat kepelbagaian spesis ikan semasa snorkerling di Pulau Kapas. Hujan renyai yang turun membuatkan aktiviti petang itu terganggu dan kami beteduh sebentar di pondok berhadapan dengan The Paddock, satu lagi kawasan tarikan dengan aktiviti berkuda dan memanah di situ. Pengalaman bersama Mr. Durai begitu berharga khususnya melihat kesungguhan beliau dalam menjaga aset utama Bukit Fraser iaitu habitat kepelbagaian spesis burung. Kami bergerak balik dengan bas, kembali ke penginapan dengan pengalaman baru - aktiviti menyeronokkan birdwatching yang pertama kali dirasai.



Setelah menikmati makan malam, kami berkumpul pada 0945pm untuk sessi diskusi bersama Cikgu Zul dan Cikgu Jamil. Kami dipecahkan 4 kumpulan dengan nama-nama kumpulan yang dipilih sendiri iaitu kumpulan Black Eagle, Eagle Nest, Oriental Magpie Robin dan Black Hornbill. Pelbagai input diberi oleh Cikgu Zul, antaranya etika dalam birdwatching, peluang kerjaya Nature guide dalam Birdwatching, lokasi tumpuan untuk aktiviti birdwatching seperti di Taman Negara, Kuala Gula, Kuala Selangor dan Taman Kinabalu. Taklimat ringkas untuk aktiviti esok hari iaitu birdwatching ke kawasan laluan old gap, Jelai Highland Resort dan mandi-manda ke Air Terjun Jeriau. Majlis diskusi tamat jam 1130mlm.

Hari ke dua – Rabu (20 Oktober 2010)



Setelah sarapan pagi, jam 7 pagi kami berkumpul di hadapan banglo untuk menaiki bas bagi meneruskan sesi birdwatching, kali ini bas membawa kami ke pusat bandar di kawasan letak kereta. Setelah taklimat ringkas diberi, kami bergerak bersama kumpulan masing-masing menyusuri jalan old gap. Kumpulan Oriental Magpie Robin adalah kumpulan pertama dapat melihat seekor anak siamang sedang bergayut disebatang pokok berhampiran pondok pengawal Gate Old Gap.Selain itu pelbagai spesis burung dapat dilihat dan dicam sepanjang menyusuri jalan tersebut. Kami juga berkesempatan melihat maskot tidak rasmi Bukit Fraser, burung silver eared mesia, warna-warni bulu burung tersebut menonjolkan betapa indahnya ciptaan Allah. Antara spesis burung lain ialah ashy bulbul, black laughingthrush, mountain bulbul. Setelah menyusuri jalan old gap, kami menaiki bas menuju ke kawasan Jelai Highland Resort hingga ke Banglo Maybank. Di situ kelihatan satu lagi tarikan Bukit Fraser iaitu kawasan riadah Allan’s Water yang menawarkan aktiviti menaiki bot. Sepanjang laluan tersebut, lebih banyak jenis burung dapat dilihat, antaranya Black Throated Sunbird, Streaked Spiderhunter, Grey Chinned Minivet (male and female), Fire Tufted barbet. Setelah sejam sesi birdwatching di situ kami kembali semula ke penginapan untuk menikmati tea break. Dan setelah menikmati makan tengahari, kami membuat aktiviti sendiri. saya dan beberapa rakan bertuah kerana dapat melihat sejenis spesis burung hantu iaitu burung pungguk kerdil (collared owlet) pada jam 3.30 petang, yang dicatatkan antara spesis burung hantu yang terkecil di dunia dengan ukuran saiz 16cm dan sukar untuk dicari. Lokasi yang dilihat adalah di sebelah belakang kanan banglo penginapan kami dan orang yang pertama melihatnya adalah tuan penghulu kita yang memang diakui ketajaman matanya. Boleh dikatakan kawasan tersebut juga merupakan kawasan yang sesuai untuk aktiviti birdwatching kerana terdapat pelbagai spesis burung yang hinggap di pohon-pohon kawasan tersebut.

Jam 4.45 petang kami berkumpul semula untuk ke Air Terjun Jeriau, satu lagi tarikan Bukit Fraser bagi membawa keluarga untuk berkelah. Laluan berliku dengan jalan yang sempit benar-benar menguji kecekapan pemanduan. Jarak perjalanan dari pusat Bandar ke kawasan tersebut sejauh 4.5 km.





kami sempat singgah di Ye Olde Smokehouse, hotel yang berkonsepkan rekaan Inggeris, hiasan dinding berwarna putih dan perabot ala Inggeris, pengekalan bangunan lama menimbulkan nostalgia gaya British di Bukit Fraser. Setelah sesi bergambar di Smokehouse, perjalanan diteruskan ke Air Terjun Jeriau dan kami tiba di sana kira-kira jam 5.35 petang. Untuk sampai ke kawasan kolam air terjun, kami terpaksa berjalan kaki kira-kira 500 meter namun agak hampa apabila air di situ agak cetek mungkin akibat kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur di kawasan tersebut. Dapat dilihat kerja-kerja naik taraf tandas awam, pembinaan empangan kecil, memungkinkan air di kawasan kolam utama cetek. Terasa juga kehampaan bagi mereka yang benar-benar ingin bermandian, mungkin pada awal tahun hadapan segalanya akan kembali pulih seperti sediakala. Kami berada di situ kira-kira 30 minit dan bergerak balik. Dalam perjalanan singgah di Medan Selera Bukit Fraser untuk menikmati minum petang yang di taja oleh En Azmi.

Sebelah malam kami sepakat mengadakan Majlis BBQ yang juga di taja oleh en Mie seperti yang dijanjikannya. Menu yang disediakan oleh rakan-rakan begitu menyelerakan, Selain menikmati makan malam secara santai di perkarangan banglo, diselit juga nyanyian lagu-lagu karaoke oleh penyanyi-penyanyi jemputan yang menyumbang suara-suara emas mereka

Sesi BBQ dan Sesi menguji minda

Malam ke dua diakhiri dengan sesi menguji minda yang disediakan oleh kumpulan Gambir Sarawak. Mereka menyediakan soalan menguji minda berkenaan burung-burung yang dilihat sepanjang 2 hari sesi birdwatching, meskipun hanya 4 soalan yang diajukan , pelbagai gelagat dapat dilihat, sesekali seronok melihat masing-masing berebut untuk memberi jawapan, yang pasti apa yang dilihat, dibaca, didengar tidak sia-sia kerana masing-masing mampu memberi jawapan pada tiap persoalan.

Hari ke tiga – Khamis ( 21 Oktober 2010)

Aktiviti hari ini diteruskan dengan birdwatching. Kumpulan masing-masing telah mula berkumpul sejak jam 0715 pagi di hadapan banglo. Aktiviti hari ini hanya tertumpu sekitar kawasan Telekom Loop, salah satu lokasi yang di anggap menarik untuk peminat burung. Setiap kumpulan bergerak bebas sepanjang laluan tersebut, memang terdapat pelbagai spesis burung, ada yang pernah dilihat dua hari sebelumnya dan spesis baru dilihat. Antaranya burung cecawi gunung (lesser racquet tailed drongo), burung murai hitam merah (black and crimson oriole) dan burung belatuk kecil jambul kuning (Lesser yellownape). Tanpa sedar kami berjalan hampir 8km, mengelilingi kawasan Telekom Loop. Banyak input baru yang diperolehi antaranya ketika melintasi Banglo Buona Vista, dapat melihat flora yang dipanggil honey dew, manakala ketika di Banglo Kaniska, pemiliknya Mr Antony sempat berkongsi pengalaman beliau sebagai pemerhati burung. Dan yang paling penting, beliau turut menunjukkan lokasi sarang labah-labah berbisa iaitu tarantula (nocturnal) pada dinding bukit berhadapan banglo Kaniska. Beliau menerangkan bagaimana bentuk sarang labah-labah tersebut. Beliau turut memaklumkan habitat labah-labah tersebut turut terancam akibat pemodenan dan tarikan kepada pengemar haiwan eksotik untuk mengambil tanpa kebenaran.

Sarang Tarantula

Info dari Mr Antony menyebabkan kami tercari-cari bentuk sarang labah-labah di sepanjang perjalanan balik dan akhirnya terjumpa juga sarang labah-labah tersebut di dinding bukit di Jalan Girdle (kawasan berhadapan pembinaan banglo baru). Setelah melihat dan bergambar, kami pun kembali ke Banglo B, tanpa sedar memakan masa hampir 3 jam. Sampai di Banglo juadah makan tengahari telah tersedia dan kami pun terus menikmati juadah makan tengahari yang amat menyelerakan.


Setelah selesai segala kerja pembersihan dan siap berkemas, kami meninggalkan Rumah Rehat Persekutuan Bukit Fraser pada pukul 1 tengahari untuk berhenti sebentar di bulatan pusat bandar bagi membeli cenderahati. Kami bergerak turun pada jam 2 petang . Saya bersama Ali, Rosli dan Anuar dalam pacuan 4 x 4, meredah perjalanan yang sama untuk kembali ke Sungai Buloh dan berhenti sebentar di Kuala Kubu Bharu untuk menikmati minum petang di Kak Jah Cendol dan selamat sampai kira-kira jam 4.30 petang dengan banyak kenangan manis dari Bukit Fraser yang serasanya tidak akan diperolehi jika bercuti di tempat lain.