Thursday, October 6, 2011

Takaful vs Insurans

APA YANG MEMBEZAKAN ANTARA

TAKAFUL DAN INSURANS

Pada kacamata seseorang yang bukan dari bidang ini, dia akan melihat tiada perbezaan antara kedua-dua sistem tersebut. Selepas diteliti, pada asasnya perbezaannya hanyalah satu, iaitu sistem takaful berlandaskan prinsip Syariah. Akan tetapi, jika diselidiki lebih mendalam, ternyata ada banyak perbezaan antara dua sistem ini. Perbezaan-perbezaan ini boleh dikategorikan seperti berikut:

1. KONTRAK YANG DIGUNAPAKAI:

Dalam sistem takaful, kontrak yang digunapakai ialah gabungan kontrak tabarru’ (derma) dan agensi (wakalah) atau kontrak berkongsi keuntungan (mudharabah). Kontrak dalam insurans pula ialah kontrak pertukaran (jual dan beli) antara penanggung insurans dengan pelanggan (pihak yang diinsuranskan).

2. TANGGUNGJAWAB PEMEGANG POLISI:

Peserta takaful membuat caruman ke dalam skim dan saling menjamin sesama sendiri dalam skim ini. Di bawah sistem insurans, pemegang polisi membayar premium kepada penanggung insurans.

3. LIABILITI PENGENDALI TAKAFUL / PENANGGGUNG INSURANS:

Pengendali takaful bertindak sebagai pentadbir skim dan membayar manfaat daripada kumpulan wang para peserta. Risiko tidak berpindah dari peserta kepada pengendali takaful. Walau bagaimana pun, sekiranya berlaku kekurangan dalam kumpulan wang para peserta tersebut, pengendali takaful diwajibkan oleh Bank Negara Malaysia memberi pinjaman (tanpa faedah) untuk menampung kekurangan berkenaan. Manakala insurans, penanggung insurans bertanggungjawab membayar manfaat insurans seperti dijanjikan dan ini akan dibayar kepada pelanggan dari wang asetnya.

4. PELABURAN KUMPULAN WANG:

Caruman yang diterima akan hanya dilaburkan dalam instrumen yang memenuhi kehendak Syariah. Bagi syarikat insurans, tiada sebarang sekatan dalam jenis pelaburan yang dibolehkan, selain sekatan yang dikenakan untuk tujuan kehematan.

Di Malaysia, industri takaful bermula sejak tahun 1985 lagi, dengan tertubuhnya Syarikat Takaful Malaysia Bhd, anak syarikat Bank Islam Malaysia Berhad. Sehingga kini, terdapat sembilan syarikat pengendali takaful yang sudah diberi lesen oleh Bank Negara Malaysia. Pada tahun 2007, penembusan pasaran atau 'market penetration' industri takaful di Malaysia hanyalah 7.2 peratus, berbanding 38.7 peratus untuk industri insurans. Ini menunjukkan bahawa industri takaful mempunyai potensi yang amat luas yang perlu diterokai.

Perlu diingatkan bahawa ada perbezaan 'business model' yang digunapakai oleh pengendali takaful di Malaysia kini. Dua model yang dikenali ialah ‘Model Mudharabah’ atau profit/surplus sharing dan ‘Model Wakalah’ atau agency. Pengendali yang menggunakan model mudharabah tidak memerlukan perkhidmatan ejen atau wakil untuk menjual produknya, tetapi menggunakan kakitangan syarikat untuk memasarkan produk-produknya. Model wakalah menggunakan perkhidmatan ejen atau wakil takaful untuk memasarkan produk-produknya. Terpulanglah kepada pelanggan untuk memilih produk atau syarikat yang disenangi.

PERBEZAAN TAKAFUL DAN INSURANS

TAKAFUL

INSURAN

Tertakluk kepada AKTA TAKAFUL 1984

Tertakluk kepada AKTA INSURANS 1963 (Pindaan 1996)

Peserta dikehendaki membayar sumbangan berdasarkan konsep tabarru’at (menderma secara ikhlas)

Pemegang polisi dikenakan bayaran premium atas perlindungan

Pihak syarikat merupakan Pengendali risiko

Pihak syarikat merupakan Penanggung risiko

penyertaan Takaful merupakan satu akad di antara Peserta dan Pengendali Takaful

Pembelian Insurans adalah satu kontrak diantara penginsurans dan pemegang polisi

Terdapat Majlis Pengawasan Syariah yang bertanggungjawab memastikan semua transaksi Syarikat berpandukan Syariat Islam

Tiada Majlis Pengawasan Syariah. Yang mungkin terdapat ialah Majlis Penasihat untuk dana islam (bukan insurans)

Tidak ada unsur riba’, maisir (judi) dan gharar (tidak ketentuan) terlibat

Terdapat unsur riba’, maisir (judi) dan gharar (tidak ketentuan)

HALAL di sisi Islam

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan fatwa bahawa Insurans nyawa adalah HARAM